Tuesday, November 27, 2012

Cara Minta Maaf.

Salah seorang klien ML pernah bertanya.

"apa cara yang betul untuk minta maaf?"

Jadi hari ini, dengan Izin Allah Swt saya rasa topik ini menarik untuk ML kongsi bersama tentang tatacara yang benar memohon maaf (menurut justifikasi manusia biasa yang masih belajar seperti ML)

Ikhlas. Kita kena faham bahwa kenyataan maaf itu puncanya adalah kesalahan. Kita perlu kenal dengan kesalahan kita dahulu baru kita kenal cara sewajarnya untuk memohon maaf. Memohon maaf itu bukan sekadar suatu formaliti. tapi satu upacara untuk kita memohon supaya kita diampunkan.

Syarat utama untuk meminta maaf adalah jangan ada alasan di sebaliknya.

"saya minta maaf sebab saya buat salah dengan awak tapi...................."

Setiap kali ada tapi dibelakang ayat wajar ada huraian dan alasan yang akan membuka satu pertengkaran baru. Setiap kali kita mencari alasan untuk memperbetulkan diri kita (menegakkan benang yang basah) bermakna kita tidak faham akan kesalahan kita. Kita tidak faham bagaimana kesalahan kita itu boleh melukakan orang lain, jadi kita tidak layak untuk minta maaf.

Fokus utama memohon maaf adalah menyenangkan orang lain. Fokus utama untuk memaafkan itu adalah menyenangkan diri sendiri. Dalam usaha untuk memohon maaf daripada orang lain tidak seharusnya kita fikir apa kepentingan yang kita dapat jika kita minta maaf. Sebaliknya berfikirlah bahawa jika dengan meminta maaf ini boleh membuatkan dia memaafkan aku maka aku ikhlas memohon maaf. Tidak ada bela diri.

Jika kita rasa setiap perbuatan kita benar tetapi tetap melukakan orang lain buat pertimbangan sama ada memohon maaf itu wajar ataupun tidak. Memohon maaf perlu disertakan dengan kefahaman bahawa "aku memang ada buat salah". Sebagai manusia biasa yang keliru dan bergantung sepenuhnya kepada hidayah Allah swt, sewajarnya kita semua pernah buat salah, jadi tidak cacat pengalaman kita hari ini jika kita mula belajar untuk meminta maaf dengan seikhlas hati.

Semoga hari ini kita menjadi manusia yang sentiasa bermaaf-maafan dan bertunjangkan Allah swt semata-mata. Inshaa Allah.

No comments:

Post a Comment